TERKINI LAHAD DATU!
TIADA TANDA PENCEROBOH LETAK SENJATA - KETUA POLIS NEGARA
Lahad Datu, 8 Mac - Belum ada tanda-tanda penceroboh militan Sulu yang
berkubu di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu mahu menyerah diri
dan meletak senjata mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Beliau berkata gerakan memburu penceroboh diteruskan dan
tiada pertempuran berlaku sejak 11 pagi semalam, apabila sejumlah 31
pengganas ditembak mati.
"Selepas insiden pertempuran semalam sehingga 31 penceroboh ditembak
mati, tiada tanda mereka mahu letak senjata api," katanya pada sidang
media bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dari sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas 'Op
Daulat' di Felda Sahabat semalam berkata Malaysia menolak sebarang
tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi
penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.
Gerakan Op Daulat masuk hari keempat hari ini dengan helikopter
digunakan untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi
operasi menggeledah manakala jet-jet pejuang berlegar di udara membuat
tinjauan.
Ismail berkata pihak keselamatan belum mengenal
pasti identiti mayat seorang ketua penceroboh, dipercayai berpangkat
jeneral, yang ditembak mati dalam pertempuran semalam.
Ditanya sama ada kemungkinan ketua itu ialah orang yang menggelar
dirinya Raja Muda Sulu, Azimuddin Kiram, Ismail berkata: "Kami masih
mengenal pasti (identiti) berdasarkan pakaian dia, tetapi beliau ialah
ketua operasi pihak penceroboh."
Ismail juga menunjukkan kepada media gambar-gambar senjata yang ditemui daripada penceroboh yang ditembak mati.
Zulkifeli pula berkata walaupun tiada pertempuran berlaku sejak
semalam, ini tidak bermakna pihak musuh tidak lagi berada di kawasan
itu. "Operasi akan diteruskan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment