Identiti dua individu yang didakwa menaiki pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370 dengan pasport palsu telah dikenalpasti dan dihantar kepada
agensi risikan Malaysia dan antarabangsa tetapi tumpuan utama masih
diberi kepada pencarian pesawat malang itu.
Pemangku Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihaknya mempunyai
rakaman CCTV yang memaparkan dua individu tersebut.
Walaubagaimanapun, beliau berkata kewarganegaraan kedua individu tersebut tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa maklumat yang boleh menjejaskan
siasatan seperti ini kerana ia melibatkan ancaman keselamatan.
“Tunggu sehingga maklumat lanjut boleh didedahkan tetapi tumpuan kami
adalah untuk mencari pesawat,” katanya semasa satu sidang media di Hotel
Sama-Sama, KLIA.
Sebelum ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA)
mengesahkan hanya dua pasport dicuri yang digunakan penumpang MH370
bukan empat seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut Ketua
Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pengesahan dibuat
berdasarkan rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan
pemeriksaan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA).
Sementara itu, Hishammuddin berkata laporan bahawa
beberapa serpihan pesawat yang ditemui di luar pantai Timur Barat
Malaysia masih tidak disahkan lagi.
“Saya tiada maklumat terkini tentang serpihan itu. Peganglah pada apa yang kita maklumkan secara rasmi,” katanya.
Ia dilaporkan bahawa pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China,
Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud
103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara.
Satu lagi
laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar
serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi
pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah
mendarat pada pagi Ahad.
Gambar-gambar tersebut dikatakan
sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, selepas 90 minit
perjalanan dari Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment