MAYAT MULA REPUT,BERULAT DITEMUI
MIRI: Misteri bau busuk yang menghantui penduduk di kawasan perumahan Desa Senadin di sini sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di kawasan berkenaan tengah hari semalam.
Mangsa dikenali sebagai Chiong Swee Ming atau lebih dikenali sebagai Ah Ming, 46, dan tinggal berseorangan di rumah berkenaan sejak kematian isterinya tahun lalu.
Ketika ditemui di ruang tamu rumahnya, keadaan mayat mangsa yang hanya memakai seluar dalam sudah mula mereput dan berulat dipercayai telah meninggal dunia sejak lima hingga enam hari lalu.
Dalam pada itu, kematian mangsa hanya disedari seorang adik lelakinya yang datang menjenguknya sekitar jam 12 tengah hari semalam.
Menurut adik mangsa, pagi semalam dia cuba menghubungi abangnya itu beberapa kali namun panggilannya tidak berjawab.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia terus pergi ke rumah abangnya dan setiba di sana mendapati kereta mangsa ada diletakkan di luar rumah, manakala pintu berkunci dari dalam.
“Saya telah memanggilnya beberapa kali dan menelefonnya, namun tidak berjawab. Saya dengan dibantu dua orang rakan terpaksa menendang pintu depan rumah yang berkunci dari dalam.
“Sebaik pintu dibuka, alangkah terkejutnya apabila mendapati abang saya telah terbujur kaku di ruang rumah dalam keadaan mayatnya yang mula reput dan berulat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Serentak itu, dia terus memaklumkan kematian mangsa kepada abang sulungnya yang kemudian turut bergegas ke tempat kejadian.
Difahamkan, selain menghidap penyakit, mangsa turut dipercayai mengalami masalah mental dan sering kedengaran meraung, menjerit dan menggoncang besi jeriji pintu rumahnya oleh jiran-jiran sebelah.
Sementara itu, menurut seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 46, dua hari lepas, isterinya mengadu ada terhidu bau busuk namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ia bau bangkai binatang atau sampah.
“Dua hari lepas, semasa isteri saya keluar rumah, dia ada mengadu terhidu bau busuk seperti bau bangkai, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ia bangkai binatang. Rupa-rupanya apa yang dia kata memang betul, bau busuk dari mayat jiran sebelah,” katanya yang tinggal selang sepintu dari rumah mangsa.
Perkara sama turut dialami jiran-jiran yang lain namun tidak mengendahkannya kerana tidak menjangka perkara seperti itu berlaku.
Menurut penduduk setempat, mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan sejak kematian isterinya tahun lalu memang jarang bertegur sapa dengan jiran tetangganya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes itu dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.
Sumber:Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment